M Faqih Tue Jul 01, 08 6:38:07 pm MYT
NAMPAKNYA kejutan yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan seumpama bom jangka. Ia berjaya diletupkan dengan hasrat menenggelamkan isu-isu yang berlingkar di kaki pemimpin Umno. -->
Saiful berjaya menyingkir seketika isu Altantuya dan Datin Seri Rosmah Mansor yang diyakini Raja Petra Kamaruddin melalui akuan sumpahnya.
Masyarakat juga seperti sudah lupa isu Datuk Yong Teck Lee dan Parti Maju Sabah. Isu usul tidak percaya berjaya mengundahkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti berlalu begitu sahaja.
Begitu juga dengan isu Ketua Pemuda MIC, S A Vigneswaran keluar parti, seperti ditenggelamkan. Sepatutnya isu itu berada di helaian depan bukannya belakang.
Taufan membadai rumah tangga Umno seakan terhenti seketika. Biar pun sudah ada atap yang terbang dan dinding tercabut, namun mahligai usang Umno masih lagi bertahan.
Barisan pertahanannya kini dilihat banyak bergantung kepada pasukan polis dan Peguam Negara. Sedangkan polis masih gagal mencari pembunuh Nurin Jazlan dan adik Sharlinie Mohd Nashar, 5 yang hilang.
Nampaknya organisasi itu lebih serasi menjadi benteng mempertahankan kerajaan BN.
Polis ternyata lebih cepat bertindak sehingga Suwandi dan Azman ditembak dengan peluru hidup ketika menyertai perhimpunan di Kuala Terengganu, tahun lalu.
Bukan sekadar nyawa hampir melayang, sebaliknya mereka ditahan pula di Penjara Marang tanpa dibolehkan ikat jamin pada awalnya.
Inilah wajah polis dan pihak pendakwaan di Malaysia. Maka nampaknya sukarlah Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya selagi dua badan terbabit terus dengan sifat biasnya.
Mengambil kira situasi yang berlaku sekarang, siapa sebenar yang mencipta skrip terbaru sehingga berjaya menggegarkan negara. Berbahagialah orang berkenaan dalam sehari dua ini.
Ada pihak menyarankan orang berkenaan diberi anugerah tertinggi di kurun ini. Skripnya benar-benar laku sehingga memenuhi halaman akhbar dan ruang televisyen.
Ada pihak berhujah Anwar sendiri, kononnya mahu mengangkat lagi martabat dirinya, sebelum menduduki kerusi empuk di Putrajaya. Waraskah hujah sedemikian.
Tengoklah kenyataan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien.
Seperti kata Khairy, Anwar seorang ahli politik yang kreatif dalam meraihkan simpati masyarakat. Hishamuddin pula mendakwa tindakan Anwar mahu mengalih tumpuan, sama seperti yang dilakunya ketika dituduh suatu ketika dahulu.
Pada 1998 tuduhan sama dilempar terhadap Anwar sebagai asas pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ia menjadi sketsa politik yang paling hangat ketika itu.
Tiada negara di rantau Asean lain ditimpa dengan pertuduhan yang amat mengaibkan semata-mata mahu musnah rakan sendiri.
Di negara jiran, biar pun sering bergolak, namun tidak pernah kedengaran teori liwat dijadikan sebagai senjata, melumpuhkan kubu lawan.
Apa dah jadi dengan penulis buku Khalid Jefri yang memulakan cerita mengaibkan Anwar.Hari ini penulis buku itu sedang berdepan dengan penghakiman di alam kubur.
Anwar ketika itu dikaitkan dengan empat kes liwat membabitkan bekas pensyarah, Hairany Mohd Naffis, penulis ucapan warga Pakistan, Dr Munawar Anees, pereka fesyen, Mior Abdul Razak dan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
Anwar ditahan atas tuduhan homoseksual.
Sepanjang perbicaraan, tiga kali pihak pendakwa meminda pertuduhan. Anwar hanya disabitkan kesalahan berdasarkan seorang saksi. Saksi tersebut dianggap berjaya memberi wajah herot kepada sistem kehakiman di negara kita.
Beberapa kali menukar pengakuan seperti menjadi amalan biasa yang dihalal dalam dakwaan terpilih di Malaysia.
Orang ramai masih lagi mengingati agenda mengusung tilam ke mahkamah. Cukup mengaib dan memualkan sekali. Siapa pembantu pelakon ketika itu kalau bukan anggota polis dan pihak pendakwa.
Kemungkinan di atas kesamaran kes itu, sebaliknya Anwar disabitkan dengan kesalahan rasuah iaitu penyalahgunaan kuasa iaitu campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Beliau kemudian menjalani hukuman enam tahun penjara sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Selepas enam tahun Anwar dikurung di sebalik jeriji besi maka pada 6 November 2006 mahkamah membebaskan Anwar dan Sukma.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah, pihaknya tidak mempunyai bukti perilaku sumbang itu. Sedangkan Anwar sudah diaibkan begitu rupa dalam tempoh begitu lama.
Keputusan itu bermakna Anwar bebas daripada hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2000 atas kesalahan tersebut.
Kini selepas 10 tahun kes itu berlalu, jerat yang serupa dipasang sekali lagi. Jarang panglima handal menggunakan taktik serupa berulang kali.
Kali ini bukan empat mangsa liwat yang mampu ditampilkan seperti yang berlaku pada 1998, sebaliknya hanya seorang sahaja. Mohd Saiful, 23 pemuda yang dikatakan gagal menerus pengajian di Uniten memulakan segala cerita itu.
Maka tercetuslah dakwaan beliau diliwat Anwar dan menurut laporannya kali terakhir pada 26 Jun lalu di sebuah kondominium di Jalan Setia Kasih, Desa Damansara.
?Inilah versi cerita yang paling menarik tahun ini ketika Anwar sedang melangkah gagah ke Putrajaya,? kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Seorang penyelidik, Mohd Zainal Abidin Hussien mempersoalkan siapa yang membikin skrip mengaibkan Anwar bagi kali kedua ini. Malah katanya skrip terbabit mungkin paling berjaya dalam cubaan meranapkan Anwar, biar langsung tidak terkesan.
Mungkinkah musuh-musuh Anwar yang berligar dalam kerajaan dan bekas teman karib sendiri.
Ketika ramai terpinga-pinga dengan pukulan itu, bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohd Ezam Mohd Nor pula tiba-tiba tampil. Ahli baru Umno seumur hidup itu pula mahu orang ramai tidak termakan dengan cerita konspirasi Anwar.
Dengan mengambil alih peranan Perdana Menteri, Ezam cuba mengupas isu tersebut.
Adakah dalam situasi sekarang Ezam sudah menjadi pembantu setia Presiden Umno.
Ezam juga mulai bercakap soal agama, dengan mengatakan segala dakwaan Anwar menuduh konspirasi, bercanggah dengan ajaran Islam.
Ada orang kampung bertanya pihak yang mencipta skrip menuduh Anwar pada 1998 tidakkah bercanggah dengan Islam, kerana ia dipertahankan Ezam sehingga terpaksa merengkok dalam ISA.
Bagi Setiausaha Badan Perhubungan KeADILan Kelantan, Mohd Makhatar Che Harun konspirator yang muncul kali ini mengejutkan seketika. Inilah wajah politik desperado di Malaysia. Silapnya Anwar kerana mudah percaya budak yang tidak kenal batang hidup dibawa ke pejabat KeADILan, ujarnya.
Dalam bahasa politik dan sosiologi disebut divide and rule. Bahasa Latin divide et impera atau divide and conquer.
Umno dan BN dikatakan terpaksa menggunakan teori itu, semata-mata mahu menggagalkan Pakatan yang semakin mengesot ke Putrajaya.
Tilam mana pula bakal diusung kali ini.
Maka isu liwat biar pun ternyata pernah gagal, kini menjadi senjata ampuh. Bagi mereka musnah karier Anwar bermakna gocanglah Pakatan.
Sedangkan pemimpin Pakatan seumpama cendawan, tumbuh merata selepas hujan. - mj _
No comments:
Post a Comment