Friday, July 18, 2008

KESAN DEBAT ISU ANWAR-SHABERY PADA BN

Kesan debat isu minyak Anwar-Shabery kepada BN
Adnan Ibrahim
Fri | Jul 18, 08 | 11:12:07 am MYT
Banyak kajian yang dibuat berpendapat, perbahasan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak lebih menyakinkan daripada Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang mempertahankan dasar kerajaan menaikkan harga minyak.

Cadangan Anwar menurunkan harga minyak 50 sen seliter walaupun disifatkan Shabery bukan mengikut janji beliau sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu dimana ketika itu petrol berharga RM1.92 seliter, tetap diterima berdasarkan rakyat mempunyai dua pilihan iaitu satu pihak menaikan harga minyak dan satu lagi menawarkan turun harga minyak.

Selain itu, Anwar juga mampu menyakinkan rakyat bahawa harga penurunan itu dibuat berdasarkan langkah awal sekiranya beliau memerintah setelah mengambil kira kerosakkan ekonomi akibat BN menaikkan harga minyak begitu tinggi.

Malah bukan rakyat sahaja yang teruja dengan hujah Anwar bahkan Ahli Parlimen BN juga seolah mengakui kebenarannya apabila mereka pada keesokkan harinya mendesak kerajaan menaikkan jumlah rebet tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian.

Debat antara Anwar dan Shabery di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada malam Selasa lalu, manakala sidang Dewan Rakyat keesokkannya menyaksikan Ahli Parlimen BN yang mengambil bahagian perbahasan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2008, meminta kerajaan meningkat jumlah rebet tersebut bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Dato' Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Dato' Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Dato' Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Dato' Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud).

Malah ada perbahasan yang beremorsi seperti Muhammad Aziz (BN-Sri Gading) sehingga menyukarkan Timbalan Speaker, Dato' Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk menghentikan ucapan beliau.

Walaupun perbahasan Muhammad tidak meminta kenaikan rebet tetapi kesan kenaikan harga minyak dan barang menyukarkan kehidupan rakyat miskin. Bagi beliau kerajaan kena tegas memastikan peruntukan tersebut sampai kepada sasaran.

v Sementara Hamim yang menyentuh tentang rebet, menegaskan, peningkatan rebat tunai itu akan dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya menggunakan motosikal dan kereta Proton.

Bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan ekoran kenaikan harga minyak, mulai 14 Jun lalu kerajaan telah membayar rebat RM625 kepada pemilik kenderaan di bawah 2,000cc manakala pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai sebanyak RM150.

Bayaran itu dibayar kepada pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing.

Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.

"Seelok-eloknya rebat tunai bagi pemilik motosikal dinaikkan paling kurang RM1,000 kerana mereka merupakan golongan berpendapatan rendah," katanya.

Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan.

Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi.

Bung Moktar pula ketika mencelah perbahasan Hamim mahukan kerajaan memasukkan pembayaran rebat tunai ke dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos ini.

"Kerajaan ada kemampuan dan sebaik-baiknya masukkan perkara ini dalam Bajet 2009. Marilah kita realisasikan perkara ini dan marilah kita bantu rakyat berpendapatan rendah yang memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan BN," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman meminta subsidi pengangkutan awam turut diberi kepada pemilik kenderaan persendirian yang menggunakannya sebagai teksi sapu tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelasnya, teksi sapu merupakan pengangkutan awam utama di Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dari segi kemudahan pengangkutan awam.

"Saya harap pemandu teksi sapu ini diberi kelonggaran agar mereka dapat subsidi minyak bagi kepentingan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak," katanya.

Bagaimanapun, Jamaluddin ketika menyentuh isu yang sama meminta rebat tunai tidak diberikan kepada rakyat yang memiliki sehingga empat atau lima buah kenderaan.

Jelasnya, rakyat yang memiliki kenderaan yang banyak semestinya mempunyai pendapatan yang tinggi.

"Kalau mereka mempunyai empat kenderaan, dua daripadanya jenis BMW serta dua buah Proton, mereka ini dikira mempunyai pendapatan tinggi dan tidak sepatutnya menerima rebat walaupun untuk dua buah kereta Proton itu," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen, Tian Chua (PKR-Batu) ketika mengambil bahagian perbahasan yang sama, menyangkal hujah Shabery bahawa Iran dan Venezuela walaupun harga minyak rendah tetapi inflasi negara tersebut tetap tinggi.

"Kita kena ambil kira keadaan semasa di negara terbabit. Iran umpamanya mendapat tekanan embargo Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara tersebut," ujarnya.

Halaman internet pro BN tidak banyak mengulas tentang debat tersebut berbanding sesawang pro pakatan rakyat dan bebas.

Posting halaman Puteri Umno hanya mengambil salinan daripada laporan Bernama manakala sesawang pemuda Umno pula bertajuk `Kantoi' dengan karikatur berwajah Anwar.

Bagaimanapun dailognya: "Tak sangka temberang aku boleh pakai lagi. Janji manifesto pakatan rakyat BA** pun dah kantoi. Apa susahnya nak jual air liur basi? Kalau ada orang nak 'free' pun boleh!" mengundang pelbagai pertanyaan.

Ini kerana sesiapa yang mengikuti debat tersebut tahu siapa yang berbuih air liur berhujah? Apakah sindiran pemuda Umno itu bermaksud serampang dua mata? Sekiranya itulah yang dimaksudkan bermakna Shabery tidak lagi popular bagi pemuda Umno dan kedudukan beliau dalam Umno mungkin sudah ke penghujung. - mr _

No comments: