Tuesday, July 22, 2008

RONALDO MEMBISU

LONDON - Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo masih enggan memberi sebarang jawapan mengenai masa depannya di Old Trafford.

Pemain sayap Portugal itu menolak untuk memberi sebarang kenyataan berhubung masa depannya hanya 72 jam selepas pengurus United, Ferguson menegaskan bahawa dia tidak akan meninggalkan skuad Red Devils.

"Saya mempunyai 1,001 persoalan tentang Manchester United dan Real Madrid.

"Apa yang anda mahu saya katakan? Saya pergi atau saya kekal? Saya tidak tahu tentang masa depan tetapi hanya Tuhan yang tahu. Saya tidak boleh berkata apa-apa lagi," kata Ronaldo.

Ronaldo yang baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian buku lali dilaporkan sedang bercuti di Amerika Syarikat.

"Pemain-pemain yang hebat sentiasa diburu oleh kelab-kelab besar. Ia adalah suatu perkara biasa.

"Saya sentiasa diburu bukan hanya tahun ini. Ia tidak aneh bagi saya untuk melihat apa yang akan berlaku," tambah Ronaldo.

Sementara itu, bekas pengurus United, Carlos Queiroz berkata, isu berkaitan masa depan Ronaldo akan berakhir dalam masa terdekat.

"Saya tidak bercakap dengan Cristiano dalam beberapa hari ini tetapi kami masih berkawan.

"Adakah saya menjangkakan dia akan terus kekal? Apa yang saya tahu, tidak banyak perubahan akan berlaku tetapi masalah ini harus ditanyakan kepada kelab terbabit," kata Queiroz yang kini membimbing skuad kebangsaan Portugal.

Ronaldo menandatangani kontrak baru bersama United 18 bulan lalu dan sebelum ini telah diberi amaran bahawa dia tidak akan ditawarkan sebarang kontrak baru.

Namun Ronaldo menegaskan bahawa dia mahu menyertai kelab Sepanyol, Real Madrid bukan disebabkan wang.

"Saya mahu gembira dengan kelab yang diwakili. Saya boleh gembira jika bersama individu yang saya suka," jelas Ronaldo. - Agensi

No comments: