Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jun 25, 08 1:16:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah Raja Petra Kamarudin berhubung pembabitannya dan isteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Najib ketika mengadakan sidang medianya hari ini menafikan bahawa isterinya itu terbabit dalam pembunuhan Altantuya
Begitupun ujar Najib, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah Raja Petra itu.
Najib mendakwa apa yang ditulis oleh Raja Petra adalah satu pembohongan semata-mata sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.
Sebelum ini, pengendali laman web Malaysia-today.net itu dalam akuan bersumpahnya pada 18 Jun lalu, mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.
Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sementara itu semalam, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.
"Memang saya concern (dengan dakwaan penulis Malaysia-Today Raja Petra Kamarudin). Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.
"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.
"Itu tak betul," katanya Abdullah dalam satu sidang medianya di Parlimen semalam._
No comments:
Post a Comment