Monday, May 26, 2008

SUAMI DAN ISTERI......

GAMBARAN kejayaan dan kerukunan sebuah rumah tangga boleh dinilai dalam berapa aspek kehidupan. Rumah tangga berjaya boleh diukur dengan wujudnya rasa tenang dan bahagia di kalangan ahli keluarga. Suami isteri mempunyai peranan terhadap rumah tangga.
Suami berkewajipan mencari nafkah dan menyediakan keperluan keluarga, sementara isteri membantu suami dalam semua hal untuk menjamin kesejahteraan hidup.
Jauh sekali menjadi hamba abdi yang terpaksa memeras tenaga melakukan segala kerja tanpa mengira masa.
Kegagalan membina sebuah rumah tangga yang sejahtera boleh mungkin memberi gambaran pasangan itu gagal melaksanakan dan memahami tanggungjawab masing-masing.
Al-Quran menggambarkan konflik rumah tangga dalam pelbagai bentuk.
Firman Allah: “Dan jika seorang perempuan bimbang suaminya benci atau tidak melayaninya, maka tidak salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian (secara elok) kerana perdamaian itu lebih baik (daripada bercerai); sedang sifat bakhil (tidak suka memberi dan bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi manusia.”- Surah An-Nisa’: 128.
Konflik rumah tangga dan perselisihan faham boleh membawa kepada syiqaq dan dharar iaitu sampai ke tahap cerca-mencerca dan pukul-memukul atau mendera.
Firman Allah: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, hantarlah seorang hakam daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua hakam itu mahu mewujudkan perdamaian, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maka mengenali.” - Surah An-Nisa: 35.
Masalah rumah tangga boleh tercetus daripada pelbagai punca. Namun kadangkala konflik yang singkat boleh mendatangkan kebaikan setelah pasangan berkenaan berdamai.
Kesan perdamaian membuatkan pasangan lebih intim seolah-olah mereka baru saja berkahwin.
Ia juga boleh menimbulkan kesedaran yang positif terhadap kesalahan dan kesilapan lalu. Rasa insaf dan bersalah boleh menambat kasih sayang yang berpanjangan.
Dalam menghadapi konflik, cubalah kita berfikir dan bertindak secara rasional.
Jangan terus merajuk kerana nanti sukar untuk berdamai. Jangan pula tidak bertegur sapa melebihi tiga hari yang boleh menyebabkan berdosa pula.
Elakkan daripada menghukum kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Jauhi diri daripada berbohong kerana ini boleh mengurangkan dorongan untuk berbaik-baik semula. Berhentilah daripada menggunakan bahasa yang kasar dan negatif.
Islam membenarkan perceraian sebagai jalan terakhir dalam menghadapi konflik rumah tangga. Walaupun perceraian sesuatu yang halal namun perbuatan tersebut dibenci oleh Allah.
Perbuatan sentiasa mencabar dan meminta cerai kerana sebab-sebab yang remeh dan tidak menasabah adalah dilarang sama sekali.
Tegas Rasulullah s.a.w.: “Wanita-wanita yang meminta suaminya menceraikan dia tanpa sebab yang munasabah, tidak akan mencium bau syurga.” - Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Termizi

No comments: